Monday, December 9, 2013

Cara Membuat Dan MenggunaTemplate

Assalamualaikum,

Di sini Mak Long tunjukkan bagaimana hendak membuat atau melukis template untuk blok quilt.  Membuat template adalah langkah penting dan perlu diikuti apabila membuat blok quilt.  Sekiranya template tidak tepat, memang susah untuk membuat blok yang sempurna waktu menampung satu keping keratan kain ke suatu keping keratan kain yang lain kerana ukuran tidak tepat dan tidak sama saisnya.  

Gunakan kayu pembaris bila membuat garisan lurus dan panjang.  Letak template di atas pelan (pattern) memastikan template itu tepat.  Boleh guna kepingan plastik nipis dan terang atau kertas tebal "manila card". 

Bahan untuk membuat bentuk template tidak terhad pada bentuk rajah tiga segi, empat segi sahaja.  Gunakan minda berkarya seperti bentuk bunga, daun, bulatan dan sebagai bahan.  Alat dari dapur seperti mulut cawan, sudu dan lain-lain boleh jadi sumba juga membantu membuat bentuk template.
  

1.   Guna kepingan plastik nipis dan terang untuk membuat template.  
  •  Letakkan plastik di atas pelan (pattern).  Supaya plastik tidak bergerak, gunakan "cello tape" dan letakkan tape itu pada plastik dan pelan.  
  • Gunakan ball pen atau pen berdakwat kekal (permanent ink) bermata halus dan surih ikut kesan pelan.  
  • Gunakan kayu pembaris bila perlu untuk garisan lurus.  
  • Gariskan tanda anak panah sebagai pandu di atas template untuk tanda selvage kain.  
  • Tanda garisan di bahagian dalam template 1/4" dari keliling template iaitu tanda garis jahitan. 
  • Potong template.

2.   Guna kertas tebal seperti kertas "manila card" atau kertas kotak kasut untuk membuat template.  
  • Pertama gunakan dan letakkan kertas surih (tracing paper) atas pelan.  
  • Surih ikut kesan pelan.  
  • Guna kertas karbon (carbon paper) dan letak di antara kertas surih dan manila card.  
  • Kemudian surih ikut  lekaran kertas surih tadi.  
  • Buat tanda anak panah sebagai pandu di atas template untuk tanda selvage kain.
  • Tanda dan buat garisan di bahagian dalam template selebar 1/4" di keliling template iaitu tanda basi kelim jahitan quilt.  
  • Potong template.

Peringatan:

a)   Guna gunting hanya untuk kegunaan menggunting kertas atau plastik.  Gunting untuk kain dinasihatkan guna hanya untuk menggunting kain sahaja.

b)   Setengah lekaran template tidak ada basi untuk jahit kelim 1/4" seperti template bunga atau daun dan lain-lain untuk dijahit dengan mesin jahit.  Selain dari itu apabila memotong kain hendaklah ditambah 1/4 " atau lebihkan sedikit sebagai basi jahit kelim.


Memotong Kain Menggunakan Template:

Guna meja untuk memudahkan kerja.  Bentang kain sebelah dalam di permukaan.  Boleh juga kain itu dilapis dua atau tiga lapis, pastikan lapisan itu tidak bergerak atau licin serta boleh digunting dengan mudah kelak.  Letak template di atas kain dan selarikan tanda anak panah pada selvage kain atau jalur panjang kain.  Tekan template dengan jari supaya template tidak bergerak, dengan cermat lukis atau surih ikut keliling template.  Buat seperti itu sebanyak yang diperlukan untuk membuat quilt.  Jarakkan melukis antara template 1/2" agar mudah kerja menggunting.  Potong setiap lekaran yang dilukis pada kain itu dengan gunting tajam.