Sunday, January 27, 2013

Memilih "Batting" Untuk Lapis Quilt

Apakah "Batting"?

"Batting" ialah keping lapisan yang dilapiskan di antara quilt atas (quilt top) dan kain lapis di sebelah bawah (backing).  Ia berfunsi sebagai penebal quilt yang menunjukkan keempukan permukaan quilt.  Terdapat beberapa jenis "batting" dijual di kedai quilt.  Di antaranya ialah:

1.   "Batting" Dari Kapas / Campuran Polyester / Polyester

"Batting dari kapas memberi kehangatan enak sebagai selimut dan lebih berat dari "batting" campuran dengan polyester.  "Batting dari polyester" kembang dan sangat ringan.  Di antara ketiga-tiga jenis ini Mak Long lebih mengemari "batting" dari kapas.  Ia lebih mudah dijahit dan menunjukan hasil permukaan quilt lebih menarik terutama kalau ingin membuat quilt ala era zaman dahulu.  "Batting" campuran polyester lebih ringan dan nampak lebih kembang dan timbul.  Apa pun terpulanglah kepada pengguna membuat pilihan.

2.   "Batting Dari Bulu Biri-biri / Campuran:

"Batting" dari bulu biri-biri ramai yang mengemarinya, pertamanya ia lembut dan mudah dijahit quilt.  Mak Long tidak pernah menggunakan "batting" jenis ini.  Harganya lebih tinggi dari "batting" yang dibuat dari kapas dan campuran polyester.

Masaalahnya pula bulu biri-biri mudah timbul menerusi permukaan quilt dan backing.  Apabila banyak kali dibasuh ia menjadi berkumpul membuat permukaan quilt tidak selari, jadi benjol-benjol.  Quilt yang berlapiskan "batting" jenis ini perlu menggunakan air suam dan sabun jenis lembut masa membasuhnya dan kemudian dibentangkan di atas lantai untuk dikeringkan.

3.   "Batting" Dari Sutera / Bahan Buluh Organik :

"Batting" dari sutera biasanya dijual dalam sais kecil dan berharga lebih tinggi dari jenis-jenis "batting" yang lain.  Ia memberi kehangatan pada pengguna tetapi ringan.

"Batting" dari bahan buluh organik adalah yang terbaharu terdapat di pasaran.  Funsinya hampir menyerupai "batting" sutera dan harganya juga tidak murah.

Mak Long rendam atau basuh tanpa gonyoh "batting" sebelum digunakan.  "Batting" juga akan mengecut sedikit bila dibasuh.  Tetapi ada orang pilih tidak basuh dahulu.  Terpulanglah pada pengguna.



"Batting"
















Memilih Kain Untuk Membuat Quilt

Memeilih jenis kain kapas yang terbaik dan halus tenunnya adalah sangat penting bila membuat quilt yang berkualiti.  Walau pun kain kapas yang baik berharga lebih tinggi, ia lebih tahan lama, cantik dan mudah dijaga. Orang kata alah membeli, menang memakai.

Mak Long suka menggunakan kain batik buatan dari Malaysia dan Indonesia.  Kebanyakan kain batik ini diusahakan dari kain kapas halus sedang corak dan warna pula tidak kalah menarik dan cantik.  Mak Long sudah menggunakan beberapa helai kain batik Malaysia dan Indonesia dalam pembuatan quilt dan hasilnya sangat memberansangkan dan memuaskan.

Basuh Kain:

Kain yang hendak digunakan membuat quilt disarankan dibasuh dahulu terutama kain batik.  Kenapa basuh dahulu?  

1.   Kain baru biasanya masih mengandungi sisa-sisa perwarna dan akan jadi turun warnanya.  Bayangkanlah kalau tidak dibasuh dahulu dan terus dijadikan quilt.  Bila quilt itu dibasuh pula alangkan sedihnya warna itu didapati turun pada kain lain dalam quilt itu.  Buat penat sahaja menjahit bersusah payah.  Elakkan mengguna kain yang turun warnanya.

2.   Kain kapas kebiasaanya mengecut sedikit apabila dibasuh.  Kadar dan  tahap mengecut pula tidak sama di antara satu kain dengan kain yang lain.  Sudah tentulah bila quilt itu dibasuh nanti, permukaan quilt tidak sama dan tidak cantik.

3.   Basuk kain dengan mesin atau dengan tangan menggunakan sedikit sabun.  Selepas dikeringkan hendaklah digosok biar tegang dan licin semula.  Ada kain kapas bila dibasuk susah hendak digosok, berkedut tidak mahu tegang.  Mungkin patut ditukar sahaja kain itu dengan kain yang lain.















Alat Dan Keperluan Asas Membuat Quilt

Keperluan mempunyai alat-alat yang betul adalah sangat penting untuk membuat quilt dan mengetahui kegunaan setiap alat dan bagaimana menggunakannya.  Ia akan memberi dan menghasilkan kerjatangan quilt yang baik dan menarik.  Alat-alat ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kegunaannya:

Terbaik dan sesuai untuk memotong atau menggunting
Terbaik dan sesuai untuk jahitan
Terbaik untuk jahitan quilt (quilting) samaada jahit tangan atau jahit mesen.



Mesen Jahit


Alat Membuat Quilt
(Tikar alas, pembaris plastik, rotary-cutter, benang, sekuci dan penetas benang)

Rotary-Cutter

1.     Rotary-cutter ialah sejenis pisau tajam berbentuk bulat seperti pisau memotong pizza.  Pisau ini sangat tajam dan perlu diberi perhatian lebih untuk keselamatan.  Mata pisau yang tajam boleh memotong dua hingga empat lapis kain kapas sekali jalan.  Perlu diingatkan ia boleh memotong dan memutuskan jari dengan mudah dan biasakan menutup mata pisau ketika tidak diguna.

2.     Gunakan tikar sebagai alas tempat memotong apabila menggunakan rotary-cutter supaya mata pisau tidak rosak dan melambatkan tumpul.  Tikar ini kalis lut pisau.

3.     Tentukan mata pisau itu diketatkan cengkaman pada batang pisau; tidak telalu ketat dan tidak terlalu longgar supaya mata pisau licin bergerak bila digunakan.

Kayu Pembaris

4.     Gunakan kayu pembaris plastik sebagai memudahkan memotong kain.  Ramai pengguna gunakan pembaris bersais 6" x 24".

5.     Bila memotong kain hendaklah menghalakan rotary-cutter ke hadapan; tidak menghala anda.  Mata pisau mesti selari dengan pembaris sedang sebelah tangan dan jari menekan pembaris di atas kain yang hendak dipotong dan sebelah tangan lagi memegang hulu rotary- cutter untuk memotong kain. 

Benang

Guna benang yang baik kerana quilt boleh tahan lama.  Jika menggunakan benang kurang kualiti, jahitan cepat putus.

Penetas keria jahitan

Gunakan penetas keria jahitan agar mudah membuka keria benang yang tidak perlu atau tersalan jahit.

Jarum

Gunakan jarum tajam dan ganti yang baru selalu supaya jahitan licin. Disarankan menggunakan jarum baru setiap kali memulakan menjahit sesatu quilt.

Pengosok kain dan meja tempat mengosok

Gunakan pengosok kain  untuk mengosok kain-kain dan blok quilt yang dijahit supaya mudah kerja.  Gunakan tempat yang lapang tempat menggosok.




Kain Dan Jenis

Kain adalah diibaratkan seperti jantung dalam quilt. Warna dan corak kain yang cantik dan menarik memberi ransangan dan gambaran sebagai pendorong seseorang pembuat quilt itu berkarya seperti mana pelukis berkarya di permukaan kanvas.  Melalui pengelaman Mak Long, melihat dan memegang kain yang bercorak dan warna yang cantik sahaja sudah cukup nekmat.  Di dalam kepala sudah dapat mengambarkan rupa quilt yang akan bakal dikaryakan.

Di sini diturunkan beberapa panduan memilih jenis kain yang sesuai untuk jahitan quilt dan apa yang perlu dilakukan setelah membeli kain-kain itu.  Kain kapas adalah jenis kain yang paling popular dan mudah diguna semasa menjahit.  Ada empat jenis kain kapas iaitu:

1.   Kain Kapas:

Kain kapas yang paling baik mengandungi 100% dari kapas dan terbaik untuk dijadikan quilt.  Pilih kain yang halus dan lembut tenunannya tidak berbulu dan tidak mudah keluar benangnya.

2.   Kain Kapas Bercampur Polyester:

Kain jenis ini sedikit licin dan mempunyai warna dan corang terang dan tidak kurang cantiknya.  Namun begitu ia adalah lebih baik dielakkan dari menggunakan kain jenis ini.  Setengah dari masaalahnya ialah apabila dicuci selalu permukaan kain didapati berbulu.  Tetapi ia sesuai untuk digunakan sebagai quilt gantungan (wall hanging quilt).

3.   Kain Kapas Berkilat (Polished Cotton):

Kain kapas jenis ini disapu damar (resin) menjadikan permukaan kain berkilat dan agak keras biasanya tidak hilang bila dibasuh.  Tambahan kain ini mudah berkedut yang tidak hilang dan bermasaalah untuk dijahit.  Kata lain kain jenis ini tidak sesuai dijadikan quilt.

4.   Kain Kapas "Chintz"

Kain kapas "chintz" kebiasaanya berlerang besar dan tebal sedikit sesuai untuk dijadikan kain langsir.  Ada juga kain kapas "chintz" yang nipis sesuai untuk dijadikan kain alas katil tetapi tidak sesuai untuk jahit "patch work".




















Tuesday, January 22, 2013

Pengenalan Kesenian *QUILT*

Apakah "Quilt"?


"QUILT" bolehlah diistilahkan sebagai sejenis dari hasil seni kerjatangan jahit menjahit yang mencorakkan berbagai rupa cipatan melibatkan perbagai jenis kain, benang, jarum, reka bentuk, warna dan pelbagai alat dan sumba.  Seni quilt juga seperti seni lukisan memerlukan daya kreatif minda dalam mencorahkan gambaran sesuatu ciptaan.  Bezanya seni quilt menggunakan corak dan warna kain sebagai bahan utama dan jarum serta benang bertindak sebagai pensil atau berus.  Pembuatan quilt ialah melapiskan dua atau beberapa lapisan kain untuk menambahkan ketebalan kain itu sebagai kain selimut, kain penutup katil, alas meja, pakaian dan sebagainya.  Lazimnya quilting memerlukan tiga lapis iaitu kain lapis atas dipanggil "quilt top"; kain lapik atau lapis bahagian tengah dipanggil "batting" dan kain lapis bawah dipanggil "backing material".  Ketiga-tiga lapisan ini dijahit di keseluruh permukaan quilt dengan berbagai jenis dan bentuk jahitan mengikut kesukaan dan kemahiran penjahit.

Berbagai jenis dan kaedah menjahit quilt terdapat sekarang seperti quilt jahit tangan "hand-quilting", quilt jahit mesen "machine quilting" dan "tying" iaitu mengikat lapisan menggunakan benang tebal.

"Hand Quilting"

Lapisan yang sudah dilapiskan bersama iaitu "quilt top", "batting" dan "backing material" (tiga lapisan) dijahit tangan iaitu jahit jelujur dengan jarah yang halus di seluruh permukaan quilt.  Tujuan jahitan ini ialah untuk mengukuhkan cantuman lapisan quilt.  Alat idal (thimble) disarongkan dijari membantu menolak jarum melalui ke atas dan ke bawah quilt yang tebal supaya tidak melukakan jari.

"Machine Quilting"

Mesen jahit atau "longarm machine" juga biasa diguna untuk menjahit lapisan quilt.  Caranya sama dengan melapiskan "quilt top", "batting" dan "backing material" di atas tempat seperti atas lantai atau meja besar.  Lapisan ini dijelujur besar atau disemat dengan pin dahulu barulah dijahit mesen.  Longarm machine ialah mesen jahit khas untuk menjahit quilt sahaja.  Menggunakan "longarm machine", sama seperti kedua-dua cara yang disebut iaitu melapiskan ketiga-tiga bahan tanpa dijelujur atau disemat.  Lapisan ini seterusnya diletakkan di dalam lekaran khas kemudian baharulah dijahit.  Ia lebih cepat kerjanya dan terdapat berbagai jenis reka dan bentuk jahitan.  

Dalam abat ke sembilan belas dahulu wanita-wanita Amerika bertenun membuat benang untuk dijadikan kain dan pakaian.  Dalam musim sejuk mereka perlukan selimut dan pakaian tebal, maka mereka membuat dan menjahit quilt.  Ketika itu bahan jahitan tidak banyak seperti sekarang.  Mereka gunakan pakaian dan kain-kain buruk dan lama dijadikan quilt.  Kain yang sudah terlalu buruk dan reput mereka gunakan sebagai "batting". Quilt tanpa "batting" dipanggil "summer quilt" diguna sebagai selimut.




"Quilt Top"









***********



[edit]

Saturday, January 12, 2013

Penggenalan

Bismillahirrohmannirrahim...


Ingin Mak Long memperkenalkan diri di sini.  Mak Long berasal dari Johor, Malaysia. Tinggal di Amerika Syarikat bersama keluarga semenjak tahun 1997.  Mak Long bersara awal kerana ingin menumpukan masa untuk keluarga.  Masa lapang digunakan sebaiknya agar tidak membasir masa dan merugikan.  Mak Long mempunyai beberapa minat dan hobi untuk dikongsi bersama.  Di antaranya ialah hidangan masakan Melayu Johor dan Amerikan yang mudah dan senang setiap hari untuk keluarga.  Kebanyakan masakan Melayu, Mak Long ubah suai umpamanya kalau terlalu pedas dikurangkan pedasnya, kalau terlalu manis dikurangkan gula, kalau terlalu beminyak dikurangkan minyak sebagai satu daripada langkah untuk menikmati dan menjalani hidup sihat menghindar penyakit.

Selain dari itu Mak Long mahu berkongsi minat dan hobi dalam membuat quilt.  Bagi yang berminat bolehlah cuba-cuba membuat quilt sendiri.  Mak Long mendapat kepuasan apabila berhasil membuat sesuatu projek quilt sama ada untuk sendiri atau dihadiahkan kepada orang tersayang atau pun bersedakah kepada mereka yang memerlukan.  Mak Long tidak berminat mengambil tempahan atau menjual quilt...hanyalah semata-mata untuk kepuasan sendiri.



Wassalam,



Mak Long








Quilt Cinta Malaysia