Showing posts with label Quilt. Show all posts
Showing posts with label Quilt. Show all posts

Thursday, November 21, 2013

Quilt Pertama "The Stars"

Assalamualaikum,



"The Stars"



Ketika mula-mula Mak Long berhijrah di Texas dahulu, Pak Long telah memperkenalkan Mak Long dengan sahabat lamanya Mike dan Elaine Raymer.  Malah kami tinggal di rumah mereka buat beberapa bulan sementara menunggu usaha pembelian rumah baru kami selesai.  Sahabat kami ini memiliki beberapa helai quilt yang cantik dan unik.  Rupa-rupanya ibu Mike iaitu Memaw pandai membuat quilt.  Memaw bermakna ibu, panggilan mesera yang lazim digunakan dalam keluarga Amerika.  Beliau suka Mak Long memanggilnya Memaw.  Mak Long mengupah Memaw membuat beberapa quilt untuk Mak Long.  Mulai dari situlah datangnya minat ingin membuat quilt sendiri.  Memaw berterus terang tidak pandai mengajar, tetapi beliau telah memberi galakan dan memberi beberapa buku miliknya cara-cara dan kaedah membuat quilt.  Mak Long sendiri membeli beberapa buah buku serba serbi berkenaan quilt.  Disamping itu melanggan majalah yang bersabit dengan quilt.  Tidak cukup dengan itu Mak Long berkunjung berulang alik ke perpustakaan meminjam buku-buku dan belajar sendiri cara-cara membuat quilt.  Pihak perpustakaan pula sangat  menggalakkan.  Apabila buku-buku yang Mak Long perlukan tiada di perpustakaan mereka, mereka berusaha mencari dan membawa buku-buku itu dari perpustakaan cawangan lain.  Perkhidmatan kepada masyarakat yang sungguh tinggi mutunya.  

Apabila sudah rasa berani dan bersedia, baharulah Mak Long mula membeli alat-alat utama keperluan membuat quilt seperti kain, gunting, benang, jarum, kayu pembaris, tikar alas tempat memotong kain, rotary-cutter dan lain-lain.  Hati Mak Long berkobar-kobar dan tidak sabar hendak membuat quilt.  Malam-malam tidak boleh tidor lena berfikit tentang quilt sahaja.  Ketika itu (1999) Pak Long tiada di rumah kerana bertugas jauh di Delaware.  Mak Long tidak ikut bersamanya kerana menguruskan rumah yang baharu sahaja kami miliki.  Masa itulah digunakan untuk memulakan membuat quilt.  Memotong kain itu sahaja Mak Long ambil satu hari suntuk mengerjakannya.  Bersepah dengan keratan-keratan kain di seluruh bahagian ruang makan kami.  Tidak dinafikan, tentulah banyak kesilapan buat kali pertama.  Kesilapan demi kesilapan dilalui tetapi semua itu dijadikan ingatan supaya tidak diulangi di masa-masa hadapan.  Mak Long buat nota semua kesilapan dan pembetulan yang dibuat.  Mak Long jahit tangan semuanya, daripada kerja mencantum kain membuat blok quilt hinggalah menjahit quilt seluruhnya.  Menjahit quilt itu mengambil masa hampir tiga bulan lamanya.  Sebaiknya kalau kali pertama membuat quilt eloklah bersais kecil dahulu, tetapi oleh kerana tidak sabar Mak Long terus sahaja membuat sais besar.  Padan muka, entah berapa ela kain digunakan untuk quilt "The Star", Mak Long sendiri pun tidak tahu…banyak!  Maka gambar di atas itulah hasilnya dan dinamakan "The Star".  "The Star" kami gunakan sebagai gebar kami setiap malam terutama di musim sejuk memberi kehangatan dan keselesaan apabila kesejukan.  Apabila kita menggunakan sesuatu dari hasil tangan sendiri sungguh nekmat dirasai walaupun tidak ada harga bagi orang lain.  Cara-cara membuatnya akan Mak Long turunkan tidak lama lagi, insya Allah.










Tuesday, October 8, 2013

JahitTampal-hias Contoh

Assalamualaikum,


Di sini adalah antara contoh-contoh jahit tampal-hias yang telah Mak Long jahit.  Ada di antara imej grafik itu Mak Long lukis sendiri dan ada juga yang diambil dari majalah atau design yang dibeli dari kedai-kedai jahitan.


Bunga Biru

Dalam gambar di atas jahit tampal hias pada quilt ini Mak Long guna kain-kain perca lebihan warna biru, hijau dan kuning dari membuat quilt yang telah lalu.  Ukuran kain latar belakang ialah 8" x 8" dan menggunakan warna lembut dan terang diganding dengan bunga warna biru gelap begitu juga daun hijau gelap.  Dengan gandingan begitu menjadikan bunga seolah timbol dan terang bila dilihat dari jauh.  Quilt ini Mak Long buat khas untuk puteri sulung AM sebagai hadiah jarijadinya.



Quilt Manggis


Gambar di atas ialah quilt untuk bayi dan Mak Long namakan Quilt Manggis.  Imej buah dan daun manggis dilukis mengikut gambaran dari minda Mak Long kemudian diabadikan dalam jahit tampal.  Inilah hasilnya.  Quilt bayi ini Mak Long hadiahkan pada bayi seorang sahabat karib Pak Long Batti Al-Qatani dari Dammam, Saudi Arabia.


Jambak Bunga

Quilt Jambak Bunga ialah quilt untuk digantung sebagai perhiasan dinding.  Jahit tampal hias setiap jambak bunga menggunakan berbagai warna perca kain lebihan sahaja.  Latar belakang kain menggunakan warna lembut cream.  



Trafik Jam

Jahit tampal hias dalam quilt bayi ini dijahit di atas latar belakang sekeping-sekeping memanjang.  Semua imej kenderaan juga Mak Long lukis sendiri.  Quilt ini telah diberi kepada seorang ahli keluarga atas permintaannya.


Kupu-kupu/Arnab Dan Bunga Matahari

Di sebelah kiri ialah quilt bayi dan Mak Long namakan Kupu-kupu/Arnab.  Semua imej dilukis sendiri.  Manakala di sebelah kanan pula ialah quilt bayi Bunga Matahari.  Kedua-dua quilt ini juga sudah tiada dalam simpanan dan telah dihadiahkan kepada bayi sahabat kami yang baharu lahir.















Sunday, October 6, 2013

Jahit Tampal-hias

Assalamualaikum,

Kali ini Mak Long ingin berkongsi cara menjahit tampal hias atau dalam bahasa Inggeris ialah "apllique".   Jahit tampal ialah kepingan kain yan dijahit atau pun imej grafik dilekatkan pada pakaian dengan menggunakan haba untuk tujuan hiasan atau menampal pakaian.  Ia juga sebagai tampal cantum bermotif yang dijahit di atas latar belakang fabrik.  Ia mudah sahaja.  

Dua kaedah menjahit tampal hias iaitu jahit menggunakan mesen jahit dan tampal hias dijahit dengan tangan.  Kali ini Mak Long hanya tunjukkan cara jahit mesen dahulu kerana pada Mak Long ia lebih cepat sekiranya tidak mempunyai banyak masa.

Jahit tampal mesen.

Alat keperluan:

1.   Kertas (tracing paper) dan pensil
2.   Kertas pautan boleh lakur (fusible paper).   
3.   Gunting 
4.   Benang sedundun dengan kain tampal
5.   Kain latar belakang
6.  Kain untuk tampal
7.  Pengosok kain 
8.  Mesen jahit


Kaedah membuat jahit tampal hias:


1.   Lukis (trace) imej grafik untuk jahit tampal di fusible paper di sebelah yang tidak lakur.  Perlu diingatkan bila melukis imej grafik hendaklah kaedah "mirror image".  Mirror image  ialah imej grafik yang mempunyai bentuk yang sama seperti imej asal tetapi terbalik haluannya,seperti imej yang terhasil pada cermin.  

2.   Letakkan imej grafik yang sudah dilukis ke atas kain kemudian gosok perlahan-lahan imej grafik itu hingga melekat dengan pengosok panas tanpa air.  Potong dengan gunting sekeliling imej grafik yang sudah melekat pada kain itu.  Guna gunting tajam supaya guntingan licin tidak rosak.

3.   Potong kain latar belakang lebih lebar/besar dari imej grafik.  Tanggalkan kertas lapik dari imej grafik kemudian letakkan imej tersebut di atas kain latar.  Bila sudah puas hati seperti yang disukai, gosok imej grafik dengan pengosok panas tanpa air.  Lihat Rajah A di bawah.


Rajah A

4.   Dengan mesen jahit jahit keliling imaj grafik dengan menggunakan jahitan satin atau jahitan blanket (satin or blanket stitches).   Rajah B



Rajah B



Di bawah Mak Long sertakan video dari youtube untuk keterangan lebih lanjut.  Selamat mencuba.
















Saturday, February 16, 2013

Belajar Membuat Quilt Sendiri No.2


Broken Rail Fence



Quilt ini kecil dan mudah membuatnya dinamakan "Broken Rail Fence" atau Pagar Landasan Rosak.  Cuci dahulu kain dan bila kering digosok sebelum memotong kain.

Bahan Yang Diperlukan

Mesin jahit
Rotary cutter, tikar alas memotong dan kayu pembaris plastik (6" x 24")
Gunting
Jarum peniti
Pin penyemat baju
Benang
Pembuka Jahitan (seam ripper)
Jarum untuk jelujur atau jahit tangan

Kain Yang Diperlukan

2/3 ela kain utama warna cerah
3 fat quarters* (3 keping berwarna dan corak yang sepadan dengan corak kain utama)
1/4 ela kain untuk "border"- warna biar sepadan dengan warna yang dipilih untuk quilt.
1 1/2 ela kain untuk backing
36" x 45" batting
* Fat quarters ialah kain yang sudah dipotong  ukuran 18" x 22"

Memotong Kain

1.     Potong setiap fat quarter kepada 2" x 22" helai
2.     Potong kain utama kepada 5" x 45" helai

Cantum, Jahit dan Gosok

Jahit setiap helai kepingan warna yang dipotong tadi iaitu 2"x22" menggunakan 1/4" basi tepi kain.  Ikut seperti dalam rajah menurut giliran warna gelap, warna sederhana dan warna terang.  Bila ketiga-tiga warna keping ini siap dijahit ukuran melintang ialah 5" lebarnya.  Jahit semua seperti mula sehingga mendapat 9 keping.  Gosok semua basi tepi dalam satu arah iaitu arah ke warna gelap (lihat anak panah ---->) menhala ke kanan kain.  Basi tepi mesti menghadap ke arah warna gelap.  JANGAN GOSOK BASI TEPI TERBUKA.



Cara Memotong Kepingan

Potong semua kepingan yang dijahit tadi juga kepingan utama ukuran 5" dan ini menjadikan ukurannya blok empat persegi 5"x 5".  Unit keping yang berjahit dipanggil "Blok A" dan Unit keping utama dipanggil "Blok B".  Lihat lekaran di bawah:




Mencantum / menjahit "A" dengan "B"

(Guna rajah di bawah sebagai panduan menjahit blok).
Setiap basi tepi gunakan 1/4" lebarnya.

1.  Jahit B dengan A seperti rajah bawah (warna gelap iaitu hijau sebelah bawah)

               (Buat 5)                                                                                  ( Buat 3)


2.     Jahit B dengan A seperti rajah bawah (warna gelap iaitu hijau sebelah atas)

              (Buat 5)                                                                                  ( Buat 2)


3.     Jahit A dengan B seperti rajah bawah (jalur berdiri dan warna gelap disebelah B).

                (Buat 4)                                                                              (Buat 2)


4.     Jahit A dengan B seperti rajah bawah (jalur berdiri dan warna gelap sebelah luar)

                 (Buat 4)                                                                           (Buat 2)       


Gosok blok

Gosok basi tepi blok A arah ke warna gelap (arah blok B).  Kemudian bila B sudah dijahit atau dicantum, gosok arah blok B.

Mencantum blok



1.    Cantuman empat keping blok, bahagian tengahnya mesti "mati kemas" - maknanya bila menjahit untuk mencantum blok, satu basi tepi hendaklah menghala ke kiri dan satu lagi menhala ke kanan.  Cantum dan jahit seperti dalam rajah dan guna 1/4" basi tepi.  Gosok arah tanda anak panah -------->

Buat 4                                       Buat 2                 



Buat 4                                      Buat 2


2.     Cantum dan jahit seperti dalam rajah di bawah.  Gosok arah anak panah ------>

Buat 2


3.     Cantum dan jahit seperti dalam rajah di bawah.  Gosok arah anak panah ------>



4.     Atur blok yang sudah dijahit seperti yang di atas mengikut rajah di bawah.  Cantum dan jahit blok No. 1, No. 2, No. 1, No. 2.   Gosok ikut arah anak panah ----->


Tambah dan jahit barisan blok akhir di bahagian bawah (lihat anak panah ------>

Mengenakan bingkai (border) pada quilt top

1.     Potong kain (1/4 ela) sebanyak 4 keping ukuran 2 3/4" x 45".  Cantum dan jahit sehelai pada bahagian atas dan sehelai di bahagian bawah quilt top.  Gosok basi tepi arah keluar iaitu arah bingkai.  Potong kedua-dua belah kiri kanan bingkai yang telebih dan selari dengan tepi quilt top.

2.     Cantum dan jahit baki keratan 2 3/4" x 45" pada kiri dan kanan quilt top.  Gosok arah keluar iaitu arah bingkai.  Potong kedua-dua belah atas dan bawah bingkai yang terlebih itu selari dengan quilt top.

Sekarang quilt top sudah siap.


Melapiskan batting

1.     Bentangkan batting di atas permukaan yang rata (di lantai atau di meja boleh).  Sama ratakan supaya tidak berkedut-kedut.  Kemudian lapiskan backing (bahagian luar ke atas) di atas batting.  Sama ratakan.


Quilt top

1.     Lapiskan quilt top (bahagian luar)  ke atas backing iaitu bahagian luar backing dan quilt top berhadap sama.  Sama ratakan supaya tidak berkedut atau senget.  Sematkan dengan jarum peniti di sekeliling tepi projek.  Pastikan sematan itu kena pada ketiga-tiga lapisan.

2.     Potong atau gunting batting dan backing sama selari dengan quilt top.

3.     Jahit jelujor keliling quilt dengan basi tepi 1/2".

4.     Bawa ke mesen jahit dan jahit keliling quilt tetapi tinggalkan sepanjang 18" terbuka (mulut) pada satu daripada tepi seperti menjahit membuat bantal untuk diisi kekabu begitu.


Terbalikan quilt keluar

1.     Mulakan dari satu sudut, gulung quilt hala ke mulut yang tidak berjahit tadi.  Kemudian gulung sebelah sudut lagi arah yang sama pula.  Akhir sekali gulung bahagian bawah gulungan yang kini menjadi seperti bola arah ke mulut.  Terbalikkan baik-baik.

2.     Sama rata dan licinkan quilt.

3.    Jahit jelujur atau gunakan  pin penyemat baju pada quilt supaya lapisan tidak bergerak.

Quilting

Sekarang quilt sudah pun jadi dan bolehlah dijahit mesen atau jahit tangan ataupun diikat dengan benang tebal.  Bila sudah siap bolehlah dibuka benang jelujur atau pin penyemat baju.


Quilt sudah pun jagi seperti dalam gambar di atas.








Belajar Buat Quilt Sendiri No. 1

Sudah lama Mak Long berminat membuat quilt dan dari situlah minat terus berkembang.  Mak Long banyak membaca tentang quilt dan sejarahnya dan membuat kajian serta membandingkan kerja-kerja membuat quilt dari ramai pembuat quilt lain.  Pepustakan di mana kami tinggal adalah tempat yang banyak terkumpul tentang quilt.  Berbulan dan tidak jemu-jemu memijam buku dan majalah disamping Mak Long sendiri berlanggan beberapa jenis majalah quilt.  Mak Long harap dapat berkungsi ilmu yang ada untuk masyarakat terutama di Malaysia amnya.  Mak Long tidak pandai mengatur kata dan bahasa yang baik tetapi berharap dapat difahami sekelian.  

Di sini Mak Long sediakan beberapa pelajaran yang mudah dengan penerangan sekali.  Setiap satu pelajaran akan membantu menambah kebolehan dan kemahiran dari pelajaran yang lepas.  Mak Long akan bantu insya Allah dari setiap langkah dari memilih kain hingga menyudahkan (binding) quilt.  


Ada dua cara menjahit quilt.  Jahit mesin atau pun jahit tangan.  Quilt pertama Mak Long buat dengan jahit tangan.  Mak Long mengambil masa lebih kurang tiga bulan setengah dari hari mula memotong kain hinggalah selesai menjadi quilt untuk gebar selimut kami.  Selepas itu semua quilt Mak Long jahit guna mesin, cepat siap! .... Mak Long tidak belajar di kelas menbuat quilt hinggalah tahun 2010, barulah ada peluang mempelajari secara rasmi di Cella's Fabric Shoppe And Sewing School,  Wimberley, Texas.  Selama ini Mak Long belajar sendiri dengan membaca buku dan majalah yang dilanggan setiap bulan.  Di samping itu menuntun TV yang menunjukan cara-cara membuat quilt dan lain-lain kerja tangan bersangkut paut dengan quilt.  Di kelas quilt, Mak Long tidak berlajar lama hanya beberapa bulan sahaja kerana rasanya sudah mencukupi pengelaman yang ada.  Segala yang diajarkan dalam kelas sudah diketahui dan sudah buat.  Terlalu banyak pilihan kain kapas yang cantik ada di tempat ini.

Sekiranya baharu kali pertama membuat quilt, dinasihatkan mulakan dengan quilt berukur kecil dan memilih corak (design) yang mudah dipotong dan dijahit.  Kalau tidak ada buku corak bolehlah melayari internet.  Beribu jenis corak quilt ada..yang mudah, yang cantik, yang susah semua ada.  Kebanyakan corak dan cara membuat di situ percuma.  Mak Long pun cari dari situ bila sudah tidak ada idea.  Apabila sudah dapat corak yang sesuai, pertama sekali kita mesti baca cara-cara memotong dan membuat hingga faham bagaimana quilt itu dibuat.  Setiap corak biasanya dilengkapkan dengan cadangan jenis kain, berapa banyak kain diperlu dan lain-lain.


MEMILIH JENIS KAIN YANG SESUAI

Memilik kain kapas sangat digalakkan.  Kain campuran kapas dan polyester pun boleh.  Kain kapas mudah diperbagai.  Memilih warna kain juga penting kerana bila kita melihat sesuatu quilt, apa yang kita nampak dahulu adalah warna sebelum nampak corak atau kecantikan jahitan quilt itu.

Cara Memotong Kain:

Dua cara memotong kain.

1.     Potong kain cara tradisi lama iaitu menggunakan "template" iaitu kepingan plastik atau kertas tebal sebagai acuan lambang carta alir terpotong guna sebagai alat bantu untuk memotong kain dengan gunting.

2.     Potong kain menggunakan "rotary cutter" (sila lihat artikal "Alat Dan Keperluan Membuat Quilt".  

Kain yang hendak dipotong hendaklah dibasuh dan digosok dahulu supaya licin dan mudah memotongnya.

Jahit Asas:

1.     Sais jarum mesen yang sesuai ialah 75/11 atau 80/12 dan gunakan benang kapas atau benang yang baik.  Gunakan jahitan keria kecil iaitu 12 atau 14 jahitan dalam ukuran satu inci.

2.     Basikan kelim tepi 1/4"  dari tepi kain dalam semua jahitan.  Ia penting menjahit mengikut ukuran 1/4" untuk menghasilkan unit atau blok yang tepat dan licin. 

Ada beberapa cara untuk mendapat ukuran basi tepi 1/4" ini iaitu:
  • Ukur jarak dari jarum 1/4" ke hujung kanan sebelah tapak kaki mesen jahit "pressure foot".  Kemudian tandakan dengan pen atau letakkan "tape" sebagai tanda panduan.
  • Kebanyakan mesen jahit sekarang sudah sedia ada tanda jahit 1/4" dan boleh guna itu.
PENERANGAN

Beberapa istilah dalam quilt yang akan Mak Long gunakan di sini.

Istilah Dalam Quilt:

Applique atau Jahit tampal
  • Menampal sesuatu keratan seperti gambar bunga dijahit pada sehelai kain lain yang lebih besar.
Backing
  • Lapisan kain sebelah bawah atau belakang quilt.
Backstitch atau jahit kia
  • Permulaan jahitan arah kehadapan dalam beberapa kia kemudian jahit kebelakang atas kia tadi bagi maksud menguatkan jahitan supaya tidak terbuka kia.
Basting atau jahit jelujor
  • Jahit berkia besar sementara untuk menlekatkan keratan kain atau lapisan quilt.  Setelah jahitan yang lebih kukuh dijahit, jahit jelujor akan dibuka.
Batting
  • Lapisan tengah di antara quilt dan lapis bawah
Bias
  • Memotong kun serong pada kain.  (Lihat lekaran di bawah).
Binding
  • Penyudah atau menjilit tepi pada keliling quilt.
Border
  • Lapik (helai panjang) yang dijahit mengelilingi quilt.
Quilt Top
  • Quilt bahagian atas yang sudah dicantum 
Quilting
  • Jahitan pada quilt apabila ketiga-tiga lapisan iaitu quilt top, batting dan backing dilapiskan.
Sashing
  • Keratan kain memanjang guna untuk menyambung satu blok quilt pada satu blok quilt yang lain.
Selvage
  • Dua tepi urat benang kain arah memanjang.  Biasanya ia lebih tetal dan kuat.  (Lihat lekaran di bawah)




Sambungan ikuti Belajar Buat Quilt Sendiri No. 2






















Sunday, January 27, 2013

Memilih "Batting" Untuk Lapis Quilt

Apakah "Batting"?

"Batting" ialah keping lapisan yang dilapiskan di antara quilt atas (quilt top) dan kain lapis di sebelah bawah (backing).  Ia berfunsi sebagai penebal quilt yang menunjukkan keempukan permukaan quilt.  Terdapat beberapa jenis "batting" dijual di kedai quilt.  Di antaranya ialah:

1.   "Batting" Dari Kapas / Campuran Polyester / Polyester

"Batting dari kapas memberi kehangatan enak sebagai selimut dan lebih berat dari "batting" campuran dengan polyester.  "Batting dari polyester" kembang dan sangat ringan.  Di antara ketiga-tiga jenis ini Mak Long lebih mengemari "batting" dari kapas.  Ia lebih mudah dijahit dan menunjukan hasil permukaan quilt lebih menarik terutama kalau ingin membuat quilt ala era zaman dahulu.  "Batting" campuran polyester lebih ringan dan nampak lebih kembang dan timbul.  Apa pun terpulanglah kepada pengguna membuat pilihan.

2.   "Batting Dari Bulu Biri-biri / Campuran:

"Batting" dari bulu biri-biri ramai yang mengemarinya, pertamanya ia lembut dan mudah dijahit quilt.  Mak Long tidak pernah menggunakan "batting" jenis ini.  Harganya lebih tinggi dari "batting" yang dibuat dari kapas dan campuran polyester.

Masaalahnya pula bulu biri-biri mudah timbul menerusi permukaan quilt dan backing.  Apabila banyak kali dibasuh ia menjadi berkumpul membuat permukaan quilt tidak selari, jadi benjol-benjol.  Quilt yang berlapiskan "batting" jenis ini perlu menggunakan air suam dan sabun jenis lembut masa membasuhnya dan kemudian dibentangkan di atas lantai untuk dikeringkan.

3.   "Batting" Dari Sutera / Bahan Buluh Organik :

"Batting" dari sutera biasanya dijual dalam sais kecil dan berharga lebih tinggi dari jenis-jenis "batting" yang lain.  Ia memberi kehangatan pada pengguna tetapi ringan.

"Batting" dari bahan buluh organik adalah yang terbaharu terdapat di pasaran.  Funsinya hampir menyerupai "batting" sutera dan harganya juga tidak murah.

Mak Long rendam atau basuh tanpa gonyoh "batting" sebelum digunakan.  "Batting" juga akan mengecut sedikit bila dibasuh.  Tetapi ada orang pilih tidak basuh dahulu.  Terpulanglah pada pengguna.



"Batting"
















Memilih Kain Untuk Membuat Quilt

Memeilih jenis kain kapas yang terbaik dan halus tenunnya adalah sangat penting bila membuat quilt yang berkualiti.  Walau pun kain kapas yang baik berharga lebih tinggi, ia lebih tahan lama, cantik dan mudah dijaga. Orang kata alah membeli, menang memakai.

Mak Long suka menggunakan kain batik buatan dari Malaysia dan Indonesia.  Kebanyakan kain batik ini diusahakan dari kain kapas halus sedang corak dan warna pula tidak kalah menarik dan cantik.  Mak Long sudah menggunakan beberapa helai kain batik Malaysia dan Indonesia dalam pembuatan quilt dan hasilnya sangat memberansangkan dan memuaskan.

Basuh Kain:

Kain yang hendak digunakan membuat quilt disarankan dibasuh dahulu terutama kain batik.  Kenapa basuh dahulu?  

1.   Kain baru biasanya masih mengandungi sisa-sisa perwarna dan akan jadi turun warnanya.  Bayangkanlah kalau tidak dibasuh dahulu dan terus dijadikan quilt.  Bila quilt itu dibasuh pula alangkan sedihnya warna itu didapati turun pada kain lain dalam quilt itu.  Buat penat sahaja menjahit bersusah payah.  Elakkan mengguna kain yang turun warnanya.

2.   Kain kapas kebiasaanya mengecut sedikit apabila dibasuh.  Kadar dan  tahap mengecut pula tidak sama di antara satu kain dengan kain yang lain.  Sudah tentulah bila quilt itu dibasuh nanti, permukaan quilt tidak sama dan tidak cantik.

3.   Basuk kain dengan mesin atau dengan tangan menggunakan sedikit sabun.  Selepas dikeringkan hendaklah digosok biar tegang dan licin semula.  Ada kain kapas bila dibasuk susah hendak digosok, berkedut tidak mahu tegang.  Mungkin patut ditukar sahaja kain itu dengan kain yang lain.















Alat Dan Keperluan Asas Membuat Quilt

Keperluan mempunyai alat-alat yang betul adalah sangat penting untuk membuat quilt dan mengetahui kegunaan setiap alat dan bagaimana menggunakannya.  Ia akan memberi dan menghasilkan kerjatangan quilt yang baik dan menarik.  Alat-alat ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kegunaannya:

Terbaik dan sesuai untuk memotong atau menggunting
Terbaik dan sesuai untuk jahitan
Terbaik untuk jahitan quilt (quilting) samaada jahit tangan atau jahit mesen.



Mesen Jahit


Alat Membuat Quilt
(Tikar alas, pembaris plastik, rotary-cutter, benang, sekuci dan penetas benang)

Rotary-Cutter

1.     Rotary-cutter ialah sejenis pisau tajam berbentuk bulat seperti pisau memotong pizza.  Pisau ini sangat tajam dan perlu diberi perhatian lebih untuk keselamatan.  Mata pisau yang tajam boleh memotong dua hingga empat lapis kain kapas sekali jalan.  Perlu diingatkan ia boleh memotong dan memutuskan jari dengan mudah dan biasakan menutup mata pisau ketika tidak diguna.

2.     Gunakan tikar sebagai alas tempat memotong apabila menggunakan rotary-cutter supaya mata pisau tidak rosak dan melambatkan tumpul.  Tikar ini kalis lut pisau.

3.     Tentukan mata pisau itu diketatkan cengkaman pada batang pisau; tidak telalu ketat dan tidak terlalu longgar supaya mata pisau licin bergerak bila digunakan.

Kayu Pembaris

4.     Gunakan kayu pembaris plastik sebagai memudahkan memotong kain.  Ramai pengguna gunakan pembaris bersais 6" x 24".

5.     Bila memotong kain hendaklah menghalakan rotary-cutter ke hadapan; tidak menghala anda.  Mata pisau mesti selari dengan pembaris sedang sebelah tangan dan jari menekan pembaris di atas kain yang hendak dipotong dan sebelah tangan lagi memegang hulu rotary- cutter untuk memotong kain. 

Benang

Guna benang yang baik kerana quilt boleh tahan lama.  Jika menggunakan benang kurang kualiti, jahitan cepat putus.

Penetas keria jahitan

Gunakan penetas keria jahitan agar mudah membuka keria benang yang tidak perlu atau tersalan jahit.

Jarum

Gunakan jarum tajam dan ganti yang baru selalu supaya jahitan licin. Disarankan menggunakan jarum baru setiap kali memulakan menjahit sesatu quilt.

Pengosok kain dan meja tempat mengosok

Gunakan pengosok kain  untuk mengosok kain-kain dan blok quilt yang dijahit supaya mudah kerja.  Gunakan tempat yang lapang tempat menggosok.




Kain Dan Jenis

Kain adalah diibaratkan seperti jantung dalam quilt. Warna dan corak kain yang cantik dan menarik memberi ransangan dan gambaran sebagai pendorong seseorang pembuat quilt itu berkarya seperti mana pelukis berkarya di permukaan kanvas.  Melalui pengelaman Mak Long, melihat dan memegang kain yang bercorak dan warna yang cantik sahaja sudah cukup nekmat.  Di dalam kepala sudah dapat mengambarkan rupa quilt yang akan bakal dikaryakan.

Di sini diturunkan beberapa panduan memilih jenis kain yang sesuai untuk jahitan quilt dan apa yang perlu dilakukan setelah membeli kain-kain itu.  Kain kapas adalah jenis kain yang paling popular dan mudah diguna semasa menjahit.  Ada empat jenis kain kapas iaitu:

1.   Kain Kapas:

Kain kapas yang paling baik mengandungi 100% dari kapas dan terbaik untuk dijadikan quilt.  Pilih kain yang halus dan lembut tenunannya tidak berbulu dan tidak mudah keluar benangnya.

2.   Kain Kapas Bercampur Polyester:

Kain jenis ini sedikit licin dan mempunyai warna dan corang terang dan tidak kurang cantiknya.  Namun begitu ia adalah lebih baik dielakkan dari menggunakan kain jenis ini.  Setengah dari masaalahnya ialah apabila dicuci selalu permukaan kain didapati berbulu.  Tetapi ia sesuai untuk digunakan sebagai quilt gantungan (wall hanging quilt).

3.   Kain Kapas Berkilat (Polished Cotton):

Kain kapas jenis ini disapu damar (resin) menjadikan permukaan kain berkilat dan agak keras biasanya tidak hilang bila dibasuh.  Tambahan kain ini mudah berkedut yang tidak hilang dan bermasaalah untuk dijahit.  Kata lain kain jenis ini tidak sesuai dijadikan quilt.

4.   Kain Kapas "Chintz"

Kain kapas "chintz" kebiasaanya berlerang besar dan tebal sedikit sesuai untuk dijadikan kain langsir.  Ada juga kain kapas "chintz" yang nipis sesuai untuk dijadikan kain alas katil tetapi tidak sesuai untuk jahit "patch work".