Wednesday, October 23, 2013

Lukisan2

Assalamualaikum,


Mak Long suka alam semula jadi.  Di kawasan luar bandar kita sesungguhnya dikelilingi alam semula jadi.  Hanya kita sendiri mampu menilai keindahan di sekeliling.  Alam keliling yang tandus juga ada rahsia keindahannya kalau kita mahu berusaha melihatnya.  Ini kan pula tempat-tempat indah dan segar seperti kepulauan di laut luas, pergunungan di hutan belantara atau di taman-taman rimba dan tidak terkecuali taman yang manusia langskapkan.  Di mana juga Mak Long lewati, tempat tersebut tetap mampu mengambarkan keindahan asli di mana kuasa Illahi menjadi sebagai pencipta yang berahsia.

Di lain kali kalau berkunjung ke mana-mana cuba lihat di sekeliling mencari keindahan sudud yang terlindung dari mata kasar.



Pokok Cactus 

Pokok cactus di atas Mak Long lukis ketika kami tinggal di Deming, New Mexico dalam tahun 2000-2001.  Deming ialah sebuah daerah tanah gurun bergunung ganang di mana keadaan tanahnya gersang dipenuhi dengan beratus jenis pokok-pokok cactus.  Cuaca di situ pula panas sama cuaca di padang pasir.  Musim sejuk pula sejuk kekadang turun salji.  Namun pemandangan di sekeliling sungguh menakjubkan mata memandang.  Terutama apabila matahari terbit di awal pagi dan terbenam di lewat petang.


Banjaran Gunung

Banjaran gunung berlapis-lapis mengelilingi kawasan Deming.  Di waktu malam ketika semua sudah tidur lena, kami boleh dengar sayup-sayup salakan serigala dan coyote.  Coyote ialah sejenis anjing hutan.  Selain itu beberapa jenis binatang seperti arnab liar, burung banyak juga.  Serangga jenis merayap banyak terdapat di situ terutama labah-labah hitam berbulu tebal yang sangat berbisa.  Kalau tidak silap ia dipanggil "black widow spider".






Lukisan-lukisan tulip ini Mak Long gunakan untuk jahitan tampal dan setengahnya dijahit terus menggunakan kaedah menjahit quilt "paper piecing".  Mungkin suatu hari Mak Long dapat menurunkan kaedah menjahit "paper piecing" di blog ini untuk dikongsi bersama.


Tulip

Tulip

Tulip









Tuesday, October 8, 2013

JahitTampal-hias Contoh

Assalamualaikum,


Di sini adalah antara contoh-contoh jahit tampal-hias yang telah Mak Long jahit.  Ada di antara imej grafik itu Mak Long lukis sendiri dan ada juga yang diambil dari majalah atau design yang dibeli dari kedai-kedai jahitan.


Bunga Biru

Dalam gambar di atas jahit tampal hias pada quilt ini Mak Long guna kain-kain perca lebihan warna biru, hijau dan kuning dari membuat quilt yang telah lalu.  Ukuran kain latar belakang ialah 8" x 8" dan menggunakan warna lembut dan terang diganding dengan bunga warna biru gelap begitu juga daun hijau gelap.  Dengan gandingan begitu menjadikan bunga seolah timbol dan terang bila dilihat dari jauh.  Quilt ini Mak Long buat khas untuk puteri sulung AM sebagai hadiah jarijadinya.



Quilt Manggis


Gambar di atas ialah quilt untuk bayi dan Mak Long namakan Quilt Manggis.  Imej buah dan daun manggis dilukis mengikut gambaran dari minda Mak Long kemudian diabadikan dalam jahit tampal.  Inilah hasilnya.  Quilt bayi ini Mak Long hadiahkan pada bayi seorang sahabat karib Pak Long Batti Al-Qatani dari Dammam, Saudi Arabia.


Jambak Bunga

Quilt Jambak Bunga ialah quilt untuk digantung sebagai perhiasan dinding.  Jahit tampal hias setiap jambak bunga menggunakan berbagai warna perca kain lebihan sahaja.  Latar belakang kain menggunakan warna lembut cream.  



Trafik Jam

Jahit tampal hias dalam quilt bayi ini dijahit di atas latar belakang sekeping-sekeping memanjang.  Semua imej kenderaan juga Mak Long lukis sendiri.  Quilt ini telah diberi kepada seorang ahli keluarga atas permintaannya.


Kupu-kupu/Arnab Dan Bunga Matahari

Di sebelah kiri ialah quilt bayi dan Mak Long namakan Kupu-kupu/Arnab.  Semua imej dilukis sendiri.  Manakala di sebelah kanan pula ialah quilt bayi Bunga Matahari.  Kedua-dua quilt ini juga sudah tiada dalam simpanan dan telah dihadiahkan kepada bayi sahabat kami yang baharu lahir.















Sunday, October 6, 2013

Lukisan 1

Assalamualaikum,

Lukisan-lukisan yang Mak Long guna untuk jahit tampal atau membuat batik.



Imej Grafik A

Imej Grafik B


Imej Grafik C

Imej Grafik D


Imej Grafik E

Imej Grafik F

Imej grafik budak lelaki ini Mak Long gunakan jahit tampal hias, kemudian dijadikan blok membuat quilt dan sampul kusyen.


Imej Grafik G

Imej grafik cicak pula Mak Long gunakan jahit tampal hias juga pada quilt bayi.



















Jahit Tampal-hias

Assalamualaikum,

Kali ini Mak Long ingin berkongsi cara menjahit tampal hias atau dalam bahasa Inggeris ialah "apllique".   Jahit tampal ialah kepingan kain yan dijahit atau pun imej grafik dilekatkan pada pakaian dengan menggunakan haba untuk tujuan hiasan atau menampal pakaian.  Ia juga sebagai tampal cantum bermotif yang dijahit di atas latar belakang fabrik.  Ia mudah sahaja.  

Dua kaedah menjahit tampal hias iaitu jahit menggunakan mesen jahit dan tampal hias dijahit dengan tangan.  Kali ini Mak Long hanya tunjukkan cara jahit mesen dahulu kerana pada Mak Long ia lebih cepat sekiranya tidak mempunyai banyak masa.

Jahit tampal mesen.

Alat keperluan:

1.   Kertas (tracing paper) dan pensil
2.   Kertas pautan boleh lakur (fusible paper).   
3.   Gunting 
4.   Benang sedundun dengan kain tampal
5.   Kain latar belakang
6.  Kain untuk tampal
7.  Pengosok kain 
8.  Mesen jahit


Kaedah membuat jahit tampal hias:


1.   Lukis (trace) imej grafik untuk jahit tampal di fusible paper di sebelah yang tidak lakur.  Perlu diingatkan bila melukis imej grafik hendaklah kaedah "mirror image".  Mirror image  ialah imej grafik yang mempunyai bentuk yang sama seperti imej asal tetapi terbalik haluannya,seperti imej yang terhasil pada cermin.  

2.   Letakkan imej grafik yang sudah dilukis ke atas kain kemudian gosok perlahan-lahan imej grafik itu hingga melekat dengan pengosok panas tanpa air.  Potong dengan gunting sekeliling imej grafik yang sudah melekat pada kain itu.  Guna gunting tajam supaya guntingan licin tidak rosak.

3.   Potong kain latar belakang lebih lebar/besar dari imej grafik.  Tanggalkan kertas lapik dari imej grafik kemudian letakkan imej tersebut di atas kain latar.  Bila sudah puas hati seperti yang disukai, gosok imej grafik dengan pengosok panas tanpa air.  Lihat Rajah A di bawah.


Rajah A

4.   Dengan mesen jahit jahit keliling imaj grafik dengan menggunakan jahitan satin atau jahitan blanket (satin or blanket stitches).   Rajah B



Rajah B



Di bawah Mak Long sertakan video dari youtube untuk keterangan lebih lanjut.  Selamat mencuba.